Selamat petang semua.
KESALAHAN 1 : Kedudukan Siku Terlalu ke bawah. (Kepit).
KESALAHAN 2 :Berhenti sebelum mendaki bukit yang tinggi / curam. (Hilang momentum).
KESALAHAN 3 : Kerap menunggang secara duduk daripada berdiri.
KESALAHAN 4 :Duduk sebelum sampai ke apex selekoh
KESALAHAN 5 : Tidak menghiraukan setting suspension (Penyeraphentak).
KESALAHAN 6 : Tidak melihat ke hadapan (20-30 meter kehadapan)
KESALAHAN 7 : Gagal mengambil makanan dan minuman untuk tubuh badan dengan betul
KESALAHAN 8 : Kedudukan lever clucth atau brek yang janggal
KESALAHAN 9 : Kekurangan persediaan
KESALAHAN 10 : Posisi Kaki dalam / luar yang tidak sesuai
Pada petang ini, saya terjemahkan 10 kesalahan besar dalam motocross, yang saya petik daripada Majalah Transmoto. Bukan plagiat ye. Ini terjemahan. Maknanya bukan idea saya, bukan usaha saya. Saya hanya terjemahkan jer ke dalam bahasa Melayu. Tidak semua saya cedok 100%. Ada ayat yang saya ubahsuai, asalkan maksud sebenar masih tidak berubah dan sesuai dengan blog ini. Ilmu nii elok disampai-sampaikan kan?.
Okeh. Ini yang menariknya. Mari kita sama-sama lihat 10 kesalahan utama dalam motocross seperti yang dikaji dan ditunjukkan dalam majalah transmoto tersebut.
KESALAHAN 1 : Kedudukan Siku Terlalu ke bawah. (Kepit).
Kita bukan masuk pertandingan sukaneka kepit belon air ye kawan-kawan. Apabila siku terlalu ke bawah, pengendalian motosikal akan lebih sukar terutamanya semasa kawalan selekoh dan pada permukaan tidak rata.Kedudukan siku yang terlalu rendah juga melemahkan kita untuk mengawal motorsikal terutamanya sewaktu dalam keadaan laju.
Sebenarnya kedudukan siku yang baik dapat memberi kesan seperti extension kepada pengendalian kita dan meningkatkan kawalan. Ini juga mengurangkan keletihan sewaktu tunggangan. Jarak yang sesuai bergantung kepada individu. Tetapi ada petua mengatakan, letak sebiji bola tampar dicelah ketiak dan itulah jarak yang sesuai untuk mengangkat siku anda.
KESALAHAN 2 :Berhenti sebelum mendaki bukit yang tinggi / curam. (Hilang momentum).
Apabila kita menyertai kumpulan atau individu masuk trail. Pasti kita akan menemui bukit atau kawasan tanah tinggi yang curam.Antara kesalahan yang dibuat ialah selalunya kita berhenti betul-betul di bawah kaki bukit tersebut sebelum kita cuba mendakinya.
Perkara ini akan menyebabkan kita kehilangan momentum untuk memulakan pendakian. Sebetulnya apabila mendaki bukit atau kawasan yang curam, kita perlu mendapatkan momentum melalui pecutan pada jarak yang sesuai. Jangan berhenti di kaki bukit.
Apabila mendaki, pastikan kawalan minyak, clucth dan brek berada pada tahap yang sesuai. Terlalu banyak minyak akan menyebabkan overspin, terlalu kerap menarik clucth juga boleh menyebabkan over spin dan boleh menyebabkan kawalan kuasa hilang tiba-tiba.
Sebaik-baiknya, kita mendapatkan momentum dan cengkaman tayar melalui kawalan motorsikal yang baik. Apabila mendapati semua perkara terkawal, pastikan pecutan dibuat terus ke puncak bukit untuk memastikan kejayaan pendakian. Jika terhenti ditengah jalan, itu bukan sahaja boleh menyebabkan kegagalan pendakian malahan kecederaan.
KESALAHAN 3 : Kerap menunggang secara duduk daripada berdiri.
Motocross merupakan sebuah kenderaan lasak yang diciptakan untuk berada di kawasan yang tidak sesuai untuk motosikal lain (Offroad). Kedudukan seat yang tinggi serta keras, suspension keras, fork lasak dan gaya tunggangan yang agresif. Keutamaan untuk kita berdiri ialah, kawalan motosikal akan menjadi lebih baik terutamanya sewaktu melalui kawasan yang teruk dan licin.
Apabila kita kerap duduk, kawalan motorsikal akan menjadi teruk disebabkan had kawalan tubuh badan menjadi kaku dan terhad. Jika kita berdiri, kaki lutut dan tangan akan menjadi extension kepada kawalan motorsikal. Ini juga boleh mengurangkan keletihan untuk tunggangan jarak jauh kerana badan jauh dari gegaran motosikal dan elemen tanah.
KESALAHAN 4 :Duduk sebelum sampai ke apex selekoh
Apabila ingin mengambil selekoh, sebaik-baiknya kita hanya duduk selewat mungkin sebelum memasuki apex selekoh tersebut. Sebelum selekoh itu diambil, kita disyorkan agar mengekalkan kedudukan berdiri sehingga ke saat terakhir sebelum memasuki lekuk selekoh.
Duduk hanya selepas memasuki selekoh boleh membantu mengekal kelajuan semasa masuk selekoh dan memastikan imbangan dan kawalan motosikal dalam peringkat terbaik.Sebaik sahaja keluar dari selekoh, sebaik-baiknya berdiri semula bagi memastikan kuasa motorsikal disalurkan ke bawah dan kawalan dipertingkatkan berbanding ketika duduk tadi.
KESALAHAN 5 : Tidak menghiraukan setting suspension (Penyeraphentak).
Antara kesalahan lazim penunggang bukan professional atau penunggang hobi, ialah tidak menghiraukan setting suspension. Bagi motocross, suspension memainkan peranan penting kerana ia membantu kawalan dan sebagai langkah keselamatan.
Selain setting fork hadapan, setting suspension belakang (sagging) juga penting. Penjagaan suspension ini sebelum setiap tungganggan adalah perlu bagi keseronokan menunggang dan keselamatan. Tanpa penjagaan suspension yang baik, kerosakan terhadap motorsikal boleh berlaku.
KESALAHAN 6 : Tidak melihat ke hadapan (20-30 meter kehadapan)
Melihat sejauh 20 hingga 30 meter dari tayar depan motorsikal sangat penting bagi menentukan laluan mana yang akan diambil dan apa yang akan kita lalui selepas ini.
Jika kita hanya melihat dalam jarak 1 hingga 2 meter sahaja, kita akan terlalu fokus dengan keadaan setempat sahaja dan akan gagal/sukar mengambil tindakan jika terdapat perkara yang diluar jangka.
Mengambil perhatian terhadap jarak di hadapan boleh mempersiapkan minda dan tubuh badan agar lebih bersedia menghadapi apa-apa kemungkinan dan membantu membuat pilihan laluan yang lebih baik.
KESALAHAN 7 : Gagal mengambil makanan dan minuman untuk tubuh badan dengan betul
Makan dan minum adalah penting bagi tubuh badan terutamanya dalam keadaan ekstrem dan banyak penggantian tenaga diperlukan. Minuman diperlukan untuk menggantikan cecair peluh yang keluar dari badan. Makanan pula membantu memberikan tenaga.
Sebelum menyertai aktiviti motocross ini, pastikan diet dan pemakanan dijaga. Jangan dibiarkan perut yang kosong dan kerapkan minum air bersih. Kegagalan menghidrat boleh menyebabkan kecederaan apabila tubuh badan gagal membuat fungsi-fungsi yang utama dan keletihan menjadi melampau.
Jika memasuki trail, pastikan bekalan air bersih dibawa secukupnya dan makanan turut disediakan. Sepotong coklat dan setin minuman tenaga boleh membantu menghilangkan keletihan dan meningkatkan semangat untuk meneruskan perjalanan yang mencabar ini.
KESALAHAN 8 : Kedudukan lever clucth atau brek yang janggal
Clucth dan brek merupakan bahagian penting dalam motorsikal kita. Tanpa kawalan clucth dan brek tidak mungkin kita dapat menunggang dengan perasaan yang gembira dan lancar.
Sehubungan itu, Kedudukan lever clucth dan brek perlu dijajarkan agar sesuai dengan jarak jari dan gengaman tangan. Pastikan ada jarak kelegaan bagi setiap lever untuk memudahkan penggunaannya.
Kedudukan lever clucth dan brek yang baik dapat membantu kawalan motorsikal, mempercepatkan reaksi, mengurangkan keletihan jari dan tangan dan mengelakkan kecederaan. Pastikan kedudukan lever ini diperhatikan terutamanya selepas jatuh. Ubah jika perlu.
KESALAHAN 9 : Kekurangan persediaan
Sebelum memasuki trail atau perlumbaan trek atau sekadar menunggang di petang hari, pastikan motosikal diservis dan diperiksa. Minyak enjin, minyak brek, uji semua fungsi alat dan semak angin dan tayar.
Selain itu, pastikan kelengkapan seperti peralatan kecemasan, spanar, beg, first aid kit dan apa sahaja yang berkaitan dengan sukan ini seperti pakaian, kasut dan wang tunai perlu sentiasa disemak.
Kekurangan persediaan bukan sahaja boleh menyebabkan kecederaan, tetapi boleh merugikan anda dan menyusahkan orang lain. Sentiasa bersedia adalah tidak rugi. Yang rugi ialah tidak bersedia apabila sesuatu terjadi.
KESALAHAN 10 : Posisi Kaki dalam / luar yang tidak sesuai
Posisi kaki sewaktu menunggang motocross adalah antara keistimewaan tersendiri sukan ini. Apabila mengambil selekoh selalunya kaki penunggang perlu dikeluarkan bagi mendapat keseimbangan dan merendahkan pusat graviti.Kedudukan kaki yang tidak betul boleh mengganggu gaya tunggangan dan memperlahankan kelajuan.
Selain itu, kedudukan kaki didalam dan terkeluar ini juga membantu memanjang (extension) kepada suspension hadapan. Ini juga membantu membuat tindakan pembetulan jika tiba-tiba kawalan motorsikal tidak menjadi di selekoh.
Sebaik-baiknya, kaki diletakkan serapat mungkin dengan fork hadapan dan secara lurus. Ini untuk memastikan keselamatan kaki jika motorsikal gagal dikawal agar tidak ditindih. Kedudukan lurus dan rapat ini juga untuk memastikan kaki tidak tersangkut pada tanah atau mana-mana motorsikal lain. Jika kaki tidak lurus dan tersangkut ke tanah sewaktu mengambil selekoh laju, kemungkinan kaki boleh patah.
Begitulah tamat sudah cerita pada petang ini. 10 Kesalahan utama yang rasanya memang ada kita buat. So, sama-samalah kita ambil tahu dan membuat penambahbaikkan agar kemahiran dan keselamatan sewaktu menyertai sukan ini dapat dipertingkatkan.